Abang Jumpa Adik Perempuannya Selepas Terp1sah Lebih 50 Tahun

Abang Jumpa Adik Perempuannya Selepas Terp1sah Lebih 50 Tahun
MARANG – Ahad lalu merupakan detik bersejarah buat seorang lelaki warga Singapura yang bertemu adik perempuannya selepas kedua-duanya terpisah lebih 50 tahun.

Pertemuan istimewa antara Ling Kok Ong, 66 yang ditemani isterinya, Josephine Ng, 62, dan Hamsiah Mohamad, 58, berlaku di kedai makan yang diusahakan Hamsiah di Taman Tasek, Bukit Payong, di sini kira-kira jam 10 pagi.

Menurut Josephine, usaha mencari adik iparnya itu dilakukan bagi mengeratkan semula hubungan antara mereka yang terpisah sejak Hamsiah dilahirkan.

“Walaupun terpisah, kami semua sentiasa mengingati Hamsiah lebih-lebih lagi ibunya. Ibu Hamsiah ada menyebut teringin sangat bertemu dia sebelum menutup mata.

“Sebab itulah saya dan suami datang dari Singapura ke Terengganu untuk menjejakinya,” katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Ahad.

Pertemuan itu diaturkan Setiausaha Kehormat Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun, Wan Mohd Rosli Wan Ngah.

Difahamkan, Hamsiah yang merupakan anak keenam daripada tujuh beradik diserahkan kepada pasangan suami isteri Melayu ketika dilahirkan untuk dijadikan anak angkat memandangkan pasangan itu masih belum dikurniakan anak ketika mereka tinggal di Bukit Besi, Dungun.

Perpisahan antara mereka bermula selepas keluarga Hamsiah berhijrah ke Singapura.
Mengimbau usaha menjejaki Hamsiah, Josephine berkata, dia dan suami telah ke Bukit Besi dua minggu lalu (17 Ogos) namun hampa kerana diberitahu keluarga angkat Hamsiah sudah berpindah dan bapa angkatnya pula sudah men1nggal dunia.



Josephine (kanan) bersama Hamsiah (dua dari kanan), Kok Ong (tengah) dan Wan Mohd Rosli (kiri) ketika bertemu di kedai makan Hamsiah di Taman Tasek, Bukit Payong di Marang.

Katanya, mujurlah mereka berdua bertemu Wan Mohd Rosli yang turut meminta bantuan Ahli Persatuan Sejarah Malaysia Kawasan Dungun untuk menjejaki keluarga itu kerana ada dalam kalangan ahlinya mengenali anak saudara Hamsiah.

“Daripada perantaraan anak saudara Hamsiah, kami dibawa ke Bukit Payong, Kuala Terengganu untuk bertemu dia hari ini (Ahad),” katanya yang akan kembali semula untuk membawa bersama ibu mereka bertemu Hamsiah.

Sementara itu, Kok Ong yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik berkata, dia amat bersyukur dan gembira kerana akhirnya dapat bertemu dengan adiknya itu.

“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat menunaikan permintaan ibu kami untuk menjejaki Hamsiah di Malaysia.

“Sudah lama kami berharap untuk bertemu dia dan kali ini harapan itu menjadi kenyataan,” katanya.
Berkongsi perasaan gembira, Hamsiah berkata, dia tidak menyangka akhirnya dapat bertemu dengan adik-beradik kandungnya yang terpisah sejak kecil.Dia mengetahui dirinya merupakan anak angkat ketika berusia 15 tahun.

“Walaupun selama ini saya dijaga keluarga angkat, mereka melayani saya sama seperti adik-beradik yang lain. Saya membesar dan dijaga dengan baik.

“Saya bersyukur kerana akhirnya ditemukan kembali dengan adik beradik kandung. Bersyukur sangat kerana saya memiliki keluarga yang besar,” ujarnya yang mempunyai dua anak.
LihatTutupKomentar

HISTATS