Fauziah guna imuniti selamatkan Hazami daripada tersingkir

SHAH ALAM: Empat peserta, Hazami, Shaz, Rahmad Mega dan Aqmal bakal berentap dalam program Terpaling Juara peringkat akhir, minggu hadapan.

Keputusan diumumkan menerusi program Terpaling Juara peringkat separuh akhir yang berlangsung dari Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam, malam ini.

Juri tetap, Fauziah Latiff berkata, empat peserta separuh akhir layak untuk beraksi ke peringkat akhir, sekali gus menyelamatkan Hazami daripada tersingkir.

"Saya akui Hazami dan Shaz melakukan sedikit kesilapan, malam ini. Tetapi, mereka diberi peluang pada pusingan 'battle', jadi mereka berusaha melakukan yang terbaik.


"Hazami dan Shaz menyanyikan dengan baik menerusi persembahan sebelum ini. Mereka sudah membuktikan antara penyanyi yang terbaik.

"Jadi, apa salahnya Hazami dan Shaz diberi peluang melangkah ke peringkat akhir. Insya-Allah, saya percaya mereka pastinya tampil dengan persembahan lebih baik, minggu depan," katanya kepada BH Online.

Fauziah berharap, empat peserta itu dapat memberikan persembahan lebih baik menerusi pentas akhir.

"Kami mahukan persembahan terbaik kerana yakin mereka memiliki kebolehan.

"Jadi, saya berharap kesilapan dilakukan malam ini dan pengajaran minggu sebelum ini memberi impak, sekali gus dapat membentuk menjadi penyanyi terbaik.

"Bukan dari segi suara, malah persembahan juga perlu dititik berat. Ada pelbagai elemen boleh diterapkan dalam satu persembahan.

"Namun, mereka kena tahu semua perkara ini untuk menjadi penyanyi yang bagus," katanya.

Bagi persembahan peringkat separuh akhir, peserta menampilkan persembahan bertema 'band'.Aqmal menyampaikan lagu Aku Skandal nyanyian asal oleh Hujan, Shaz (Hanya Namamu - Caliph Buskers), Hazami (Aurora - Estranged) dan Rahmad Mega (Kejora Ku Bersatu - Search).

Kemudiannya, dua peserta mendapat markah paling rendah iaitu Hazami dan Shaz bertarung menerusi pusingan Battle Bottom 2 dengan menyampaikan lagu Sejati, nyanyian asal Wings.

Bagaimanapun, Hazami tewas dalam pusingan berkenaan. Namun, Fauziah menggunakan imuniti untuk menyelamatkan Hazami daripada tersingkir.

Vokalis kumpulan Mega, Rahmad diumumkan sebagai penerima persembahan terbaik, sekali gus mara ke peringkat akhir.

Setiap minggu, persembahan terbaik mingguan diumumkan dalam segmen Terpaling Padu Minggu Ini dan menerima hadiah wang tunai sebanyak RM5,000. 

Pemenang ditentukan dengan 70 peratus markah dari juri tetap Datuk Hattan dan Fauziah, manakala 30 peratus menerusi undian atas talian di www.xtra.com.my/terpalingjuara.

Terdahulu, tirai pentas separuh akhir dibuka dengan persembahan Is Projector Band dan Yabang Khalifah menerusi lagu Sudah Ku Tahu dan Hang Pi Mana.

Muss pula diundang menyampaikan lagu Sendiri menerusi persembahan penutup.

Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten yang juga penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu untuk membimbing penyanyi senior dan bintang baharu menjayakan persembahan mingguan bertemakan #playlistAJL.

Lagu-lagu popular AJL akan diberikan nafas baharu menggamit nostalgia penonton program Terpaling Juara.

Juara Terpaling Juara bakal membawa pulang hadiah wang tunai sejumlah RM100,000, manakala tempat kedua dan ketiga masing-masing bakal membawa pulang wang tunai RM50,000 dan RM30,000.
LihatTutupKomentar

HISTATS